Artikel oleh: Minda Panji Darman
Hakikatnya kebenaran akan tegak dan kepalsuan akan terhapus, sesungguhnya kepalsuan akan hapus (Al-Quran Bani Israil Q17:81.) Sikap munafik UMNO yang mewakili Kerajaan Malaysia dalam isu kepulangan Chen Ping sudahnya akan memalukan negara ini, membawa imej sebagai bangsa yang rendah tamadunnya.
Apakah kerana UMNO kini sedang menghitung-hitung saat sakratul sehingga ia sanggup melanggar sebuah perjanjian yang begitu besar dalam sejarah Malaysia. Perjanjian Haadyai 2 Disember 1989 telah ditandatangani di hadapan khalayak masyarakat dunia, dihadiri oleh lebih kurang 300 - 400 wartawan di seluruh dunia dan perjanjian ini disaksikan dengan penuh istiadat. Hanya orang-orang yang berjiwa munafik sahaja yang akan memungkiri perjanjian dan suka mengungkit-ungkit perkara-perkara yang telahpun diputuskan.
Sebenarnya Tan Seri Rahim Mohd Noor adalah wakil Malaysia yang telah dianggap oleh pimpinan PKM sebagai watak paling keras dan tidak mesra sepanjang siri rundingan perjanjian ini. Di peringkat awal beliau didapati begitu tawar sekali untuk berjabat salam sekalipun dengan barisan pimpinan PKM. Rahim Noor adalah antara orang yang disebut oleh Abdullah C.D sebagai watak paling tawar dan angkuh sekali tatkala rundingan itu berlangsung. Walaupun begitu, watak ini perlahan-lahan berubah dan tunduk akur apabila mereka sama-sama telah memutuskan perkara-perkara yang menjadi isu pada ketika itu termasuk soal kepulangan bekas pemimpin dan kader PKM ke Malaysia atau Thailand.
Siri rundingan secara terperinci dapat diperolehi dari buku “The Communist Parti of Malaya, Malaysia and Thailand – Truce Talks ending The Armed Struggle of The Communist Parti of Malaya” Buku ini ditulis oleh General Dato Kitti Ratanachaya, seorang yang diberi tanggungjawab sebagai pengerusi rundingan hinggalah perjanjian ini berjaya dimeterai secara saksama di Hotel Lee Gardens Haadyai pada 2 Disember 1989. Kejayaan Perjanjian Damai ini telah memberi kesejahteraan dan keamanan yang tidak ternilai besarnya. Semua pihak telah menerima bahawa perjanjian ini adalah Penamatan Perjuangan Bersenjata secara Terhormat oleh PKM yang menjanjikan keamanan dan kesejahteraan semua pihak.
Menghalang kepulangan Chen Ping tidak akan memberi Political Mileage kepada UMNO dan Barisan Nasional kerana pendirian kerajaan ini ditolak oleh majoriti rakyat semua kaum di Malaysia. Jika mahu, Kerajaan boleh melancarkan satu referendum untuk menguji perkara ini. Ingatlah akan pesanan Allah dalam Al-Quran:
“Ia bukanlah ketaatan bahawa kamu memalingkan muka kamu ke Timur dan ke Barat, tetapi ketaatan adalah percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan malaikat-malaikat, dan Kitab-Kitab, dan Nabi-Nabi; dan memberikan harta, walaupun dicintainya, kepada sanak saudara, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan musafir, dan orang-orang yang meminta-minta; dan memerdekakan hamba, dan melakukan solat, dan memberikan zakat, dan mereka yang menepati perjanjian mereka, apabila mereka membuat perjanjian, dan orang-orang yang sabar dalam kecelakaan, dan kesusahan, dan bencana. Mereka inilah orang-orang yang bertakwa dengan benar” Al- Baqarah Q2:177
Apa yang disebut di dalam ayat diatas adalah tentang perkara-perkara yang bersifat principle. Apakah pimpinan UMNO hari ini ingin menjadikan UMNO sebagai sebuah parti paling munafik di dunia dengan menjadikan agama sebagai topeng untuk melakukan apa sahaja demi matlamat politik? Soalnya, dengan imej kemunafikan bolehkah parti ini terus mendapat kepercayaan rakyat ?
Selain itu, perkara ini terlalu jelas sifatnya dan UMNO tidak mungkin mampu memutarbelitkan seperti kes-kes yang lain kerana kes ini direkodkan secara terperinci dan ianya akan menjadi bahan sejarah yang tidak boleh diputarbelitkan.
Melihat kepada tindakan, siapakah lebih Islam di antara PKM dengan Kerajaan Malaysia. Jika Rahim Noor sendiri mengakui bahawa PKM telah mematuhi segala perjanjian yang telah dipersetujui dan Kerajaan Malaysia telah memungkirinya maka siapakah yang lebih Islam dan siapakah yang munafik ? Kes ini tidak sahaja mengheret pemimpin seperti Najib dan Mahyudin tetapi turut mengheret ulama-ulama yang bersekongkol menjadi munafik. Apakah kerana upah, gaji dan elaun mereka menyebabkan mereka memilih untuk berdiam diri dan tidak mahu turut menasihati al-Umara’ seperti yang mereka selalu laung-laungkan atau mereka bukanlah orang-orang yang mendapat petunjuk kerana mereka mengambil upah dari al-umara’ seperti yang disarankan dalam surah Yasin Q36:21. Bagaimana mereka boleh menjadi begitu jauh terpesong dari ajaran Allah dan RasulNya. Bukankah melanggar sesuatu perjanjian yang telah diikat adalah satu perlanggaran terhadap perintah Allah ?