9.7.09

Penduduk Kampung Buah Pala dan "politicks" pecah perintah

Penduduk Kampung Buah Pala Pulau Pinang yang kini sedang menggelepar bukanlah kerana mereka akan kehilangan buah pala yang selalu diguna membuat acar di kampung itu tetapi mereka sedang berdepan dengan satu ancaman pengusiran dari kuasa kaum Bourgeoisie-kapitalis ternakan tempatan yang diram sekian lama dari inkubator penjajah. Tali-tali buaian anak yang sedang menyusu akan direntap dari alang rumah-rumah kayu tua. Dapur dan tempayan beras akan berkecai dirandok jengkaut yang disewa oleh Birokrat upahan. Peristiwa ini bukanlah suatu yang baru malah di bawah pemerintahan Bourgeosie BN-UMNO ia juga telah berlaku dengan begitu berleluasa sebelum ini di mana-mana sahaja di Malaysia apabila kaum Bourgeoisie - kapitalis ternakan ini menyatakan niatnya untuk mencari keuntungan di situ.

Daripada apa yang dapat dilihat, krisis pengusiran penduduk-penduduk di Kampung Buah Pala Pulau ini tampak berbayang-bayang lembaga hitam bergentayangan di bawah permukaan gelombang pergolakan di situ. Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP di satu sudut dan perintah mahkamah mewakili pemaju kelas bourgeosie lembaga hitam di satu pihak yang satu lagi.

Apabila protes penduduk kampung itu berbaur perkauman, kita mungkin dapat membaca bahawa ini adalah satu lagi agenda terdesak UMNO melancarkan propagandanya terhadap DAP yang disifatkan sebagai musuh dan sebuah parti perkauman Cina.

Demi usaha untuk menyambung nafasnya BN-UMNO, isu perkauman yang menjadi alat survival politik komponen BN akan terus dieksploitasi, justeru minda pemimpinnya yang begitu tertambat di bawah strategi pecah-perintah sejak imperialist British dulu. UMNO begitu terdesak untuk mengasingkan DAP dan PAS di Kedah, serta PKR dan DAP di Selangor dan Pulau Pinang. BN dan UMNO sebagai the rulling party memang mengetahui bahawa mereka sebenarnya sedang membilang hari untuk di mandi dan dikafankan. Satu-satunya kuasa tanpa integriti dari sebuah perjuangan yang tidak tulen tertunggak di atas sejarah palsu yang ditulis oleh tangan tangan yang berdosa, berasa terlalu bimbang kini terhadap kepercayaan rakyat bagi mereka meneruskan teraju pemerintahan.

Kita akan terus melihat strategi-strategi pecah-perintah ini menjadi agenda lembaga dan tangan hitam bergentayangan di sebalik tabir sedang mengarahkan sebuah drama ke arah satu krisis antara kaum, malah boleh membawa pertumpahan darah di Malaysia sebagai satu kemuncak untuk mengekalkan taring kuasanya.

Agenda kepentingan Melayu kini sudah mereka rasa basi untuk disajikan kerana mereka sendiri merasa perkataan itu begitu hancing dan memualkan. Kelompok India walaupun 11 % di Malaysia mungkin mempunyai makna untuk mereka menyelamatkan beberapa kawasan PR sessi 2013 nanti. Melayu 57 % terpecah kepada PAS, UMNO, dan Keadilan - 3 kelompok yang sukar disatukan sebenarnya satu situasi begitu mengancam survival politik kelas Bourgeoisie UMNO-BN.

Kongress PSM ke10 di Ipoh baru-baru ini adalah pertama kali selepas PSM berjaya didaftarkan selama 10 tahun hidup bergelandangan. Dalam masa setahun, 10 Division PSM telah tumbuh. Saya ada bersama dengan Dr. Kumar dan Dr. Nasir pada hari itu. Dari satu segi PSM nampak membuat banyak perkembangan yang menakjubkan. Mereka nampak lebih ikhlas walaupun momentum pengikutnya sedikit ke hadapan.

Pergolakkan politik Malaysia kini sedang menuju ke satu arah yang lebih matang bagi menyahkan kutu-kutu dan inkubator ternakan bourgeoisie tetapi mungkin memerlukan masa yang agak panjang justeru sekian lama ianya dibelenggu mimpi dan harapan yang ditaburkan pada setiap kali pilihanraya.


Penulis
Sohigh


*politicks - banyak kutu yang hidup dengan menghisap darah.

- artikel dihantar oleh penulis bebas sohigh di blog ini-

0 comments: