Zahra Masoumah
Mengikuti kekecewaan yang dialami oleh adik Zahra Masoumah dalam percubaannya berenang merentasi Selat Inggeris pada 2 Julai yang lepas saya rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman dengannya. Pengalaman Zahra Masoumah menakluki beberapa selat termasukSelat Dinding dan Perairan Langkawi dengan menggunakan sangkar yang ditarik di sisi oleh bot nampaknya belum mencukupi untuk berenang di laut terbuka tanpa sangkar atau secara bebas.
Umum mengetahui berenang di selat inggeris tidak boleh menggunakan full suit ataupun sangkar disebabkan Channel Swimming and Piloting Federation menjaga kualiti perenang yang ingin menawan selat itu dengan mengenakan berbagai syarat yang munasabah. Oleh yang demikian agak sukar bagi adik Zahra untuk menyesuaikan diri berenang tanpa menggunakan sangkar kerana berenang secara bebas bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal malah ketahanan mental yang luar biasa lebih-lebih lagi apabila menghadapi cabaran dihanyutkan oleh arus yang deras ke kiri atau kanan malah kadang-kadang ke belakang, di tempat kita bermula.
Sebagai bekas atlit triathlon yang pernah mengambil bahagian dalam sukan thriathlon negara di awal era sembilan puluhan, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman yang pernah saya lalui sepanjang penglibatan saya dalam sukan ini. Pertama sekali, untuk mencapai kejayaan, jangan pernah sesekali memikirkan tentang wang ringgit atau ganjaran. Wang bukanlah faktor untuk berjaya sebaliknya ialah soal kepercayaan. Kita akan capai apa yang kita percaya. Tanpa wang yang mencukupi pun kita masih boleh berjaya, Selain kepercayaan, kita harus punya kecekalan dan keazaman yang tinggi di samping semangat pantang menyerah kalah juga adalah antara faktor utama untuk kita mencapai impian besar kita.
Kepercayaan ini juga harus bertunjangkan pada patriotisma dan kecintaan terhadap negara. Semangat berkobar-kobar untuk mengharumkan nama negara juga boleh membantu kita membina kekuatan mental. Sebaliknya jika impian kita adalah sekadar untuk mencipta nama atau self glory maka keteguhan hati dan kekuatan mental tidaklah menjadi sekuat perjuangan demi mengangkat martabat negara dan tanah air.
Maka dengan semangat sedemikian, kita tidak sesekali akan menyerah kalah kerana merasa bertanggungjawab untuk mempertahankan maruah negara dan tidak sesekali akan mengaku kalah kerana sekali kita mengaku kalah ia akan meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap semangat untuk terus berjuang.
Semasa saya berlatih bersama pasukan dahulu, jurulatih kami amat menekankan aspek kekuatan mental dan kecekalan hati. Beliau tidak sesekali ingin melihat anak didiknya kelihatan letih dan lesu selepas berlatih maka kami semua terpaksa menunjukkan riak muka yang bersemangat dan bersedia untuk terus berjuang. Ada satu masa kami disuruh berenang di sebuah pulau berdekatan Tioman sejauh 10 kilometer pergi dan balik, apabila kami berjaya menghabiskan 10 kilometer, kami disuruh pula berenang sejauh 10 kilometer sekali lagi. Di dalam fikiran kami, kenapalah kami perlu berenang berbatu-batu sedangkan renangan yang sebenar hanyalah kurang dari 10 kilometer. Katanya untuk menjadi yang terbaik dari yang terbaik, kamu perlu bersedia untuk bertarung di pusingan tambahan ataupun lebih kilometer supaya fikiran kamu akan member reaksi yang positif kerana semasa latihan kamu sudah berenang lebih jauh dari itu. Seperkara lagi kita mesti cukup kental dari segi fizikal. Laut yang bersifat sangat dinamik akan berubah dengan cepat tanpa menunggu kita. Jika kita terlewat berada di satu-satu lokasi yang dirancang pada waktu tertentu bermakna kita telah ditewaskan. Dari konteks kekuatan fizikal kita tidak boleh terlewat kerana laut akan menghantar kita ke satu lokasi di luar dugaan.
Wang ringgit bukan soal yang pokok untuk kita meraih kejayaan besar. Sebagai contoh kita dapat melihat betapa cekalnya Datuk Abdul Malik Mydin yang berjaya merentasi Selat Inggeris pada tahun 2003 dahulu sekaligus menobatkan beliau sebagai anak Malaysia pertama berenang di situ. Beliau tidak berputus asa walaupun berjuang selama 17 jam dan ditunda kebelakang sejauh 15 kilometer sedang pantai Calais Perancis sudah didepan mata. Mengikut Dr. Mahathir ketika memberi ucapan kepada para pelajar Malaysia di Universiti Oxford pada tahun yang sama menyatakan pada hari Malik berenang beliau juga dalam keadaan tidak mempunyai wang.
Semangatnya yang kental dan pantang menyerah serta tidak memikirkan sangat tentangrekod masa yang akan dicipta maka beliau akhirnya sampai juga di Pantai Calais Perancis. Beliauingin membuktikan bahawa jangkaan negatif pemerhati Inggeris dari Channel Swimming and Piloting federation (CSPF) yang menyatakan bahawa beliau tidak akan berjaya merentasi selat itu adalah sebenarnya salah.
Begitu juga dengan pengalaman yang ditempuh Norazmin Abdul Aziz yang berjaya mengukir nama sebagai anak Malaysia pertama menakluki Selat Melaka dari Pulau Rupat Indonesia ke Port Dickson sejauh 65 kilometer pada tahun 2008 yang lalu tanpa menggunakan sangkar. Beliau menjangka akan tiba di port Dickson kurang dari 24 jam tetapi telah bersedia untuk berenang selama 36 jam sekiranya keadaan laut berubah. Katanya laut adalah paling sukar untuk diramal oleh sesiapa sahaja. Ia akan berubah dengan cepat apabila keadaan berubah. Kita perlu memahami tentang sistem pasang surut di laut itu dahulu sebelum kita berenang di dalamnya. Kefahaman ini akan menghalang kita daripada menjadi panik apabila berdepan dengan seberang perubahan.
Di laut kita persis berada di dalam sebuah buaian raksaksa yang akan menghanyutkan kita lebih kurang 6 jam ke kanan atau ke kiri malah tidak mungkin sama sekali untuk berenang mengikut garis lurus. Beliau akhirnya berjaya juga sampai ke pantai di Port Dickson dalam masa 24 jam tanpa menyerah kalah dalam keadaan jarak di Selat Melaka hampir dua kali ganda Selat Inggeris. Kecekalan dan semangat pantang menyerah kalah ini membuatkan Azmin akhirnya berjaya merentasi Selat Melaka walaupun telah ditunda ke belakang sejauh 9 kilometer juga ketika pantai Port Dickson hanya tinggal 2 kilometer sahaja untuk dipijaknya. Beliau tetapmeneruskan perjuangannya demi tidak mahu menjatuhkan maruah bangsa. Katanya, jangan angkat jasadnya selagi dia masih lagi bernyawa. Ini membuktikan bahawa beliau benar-benar mempunyai semangat dan kecekalan yang tinggi. Perkataan ini juga dilafazkan oleh Malik Mydin ketika beliau berenang di Selat Inggeris dulu.
Saya merasakan adalah amat berguna sekiranya pengalaman perenang-perenang selat di negara ini, seperti Datuk Abdul Malik Mydin dan Azmin Aziz digunakan sepenuhnya. Saya melihat pengalaman mereka perlu dikongsikan bersama adik Zahra Masoumah dan perenang marathon yang lain supaya banyak lagi rekod renangan jarak jauh secara terbuka akan dicipta oleh anak Malaysia di arena antarabangsa yang unik ini.
Tahniah di atas percubaan berani adik Zahra Masoumah!