31.7.10

Taraf pendidikan yang diterima oleh rakyat Malaysia.

Merdeka 50 tahun tiada makna jika pemikiran masyarakat masih terjajah. Apa gunanya memiliki infrastruktur kelas pertama tetapi pemikiran masyarakat kelas ketiga. Para menteri memperbodohkan rakyat mengatakan system pendidikan yang ada ketika ini terbaik tetapi menghantar anak-anak mereka belajar diluar negara. Mungkinkah sistem pendidikan Malaysia berorientasikan Inggeris ini masih lagi dijajah sehinggap tidak mampu membuat sebarang perubahan?
Dizaman Inggeris lagi, dasar pendidikan condong kepada golongan bangsawan. Raja-raja Melayu dizaman penjajahan Inggeris menikmati taraf hidup yang mewah dan sebenarnya golongan ini tidak pernah dijajah secara fizikal. Yang telah dijajah ialah rakyat Malaya pada masa itu. Umpanya, kita lihat raja-raja Melayu dahulu diberi keistimewaan seperti disogok dengan jawatan, kemewahan dan wang ringgit tanpa perlu mengutip cukai. Anak-anak mereka telah dihantar belajar ke England sementara rakyat Malaya terus dijadikan hamba. Hasilnya kita telah mendapat seorang perdana menteri Tunku Abdul Rahman yang berketurunan raja  hanya berkulit Melayu dan berhati Inggeris. Setelah Malaya merdeka, trend para pembesar menghantar anak-anak belajar diluar Negara terus berlaku. Didalam negeri mempertahankan corak pendidikan kononnya kita dalah antara yang terbaik tetapi mengapa Hussein Onn menghantar anaknya Hishamuddin ke sekolah Inggeris Cheltenham College sebelum terbang pula ke Universiti Wales, Aberystwyth. Trend ini tidak lari dengan pemimpin yang pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Pelajaran seperti Mahathir Mohamad. Anaknya Marina Mahathir telah dihantar belajar di Universiti Sussex. Najib Razak semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri menghantar anak lelakinya ke Garden International School di UK dan anak perempuannya ke Universiti Georgetown. Kalau UITM dikatakan bagus untuk melayu mengapa mereka tidak hantar anak mereka ke sini?
Cadangan supaya UPSR dan PMR dimansuhkan mungkin baik dari beberap aspek. Anak-anak kecil dapat menikmati zaman kanak-kanak dan remaja mereka. Mereka tidak perlu untuk menghafal sifir atau formula matematik sejak darjah 2 dan dapat bermain-main pada petang hari tanpa perlu dikurung didalam rumah menghafal sifir. Tetapi apakah mekanisma untuk mempertingkatkan mutu pendidikan?
Hari ini, para graduan universiti tempatan dikatakan tidak kompeten untuk bekerja. Mereka dikatakan tidak mampu untuk memegang jawatan-jawatan penting dan tidak mahir berkomunikasi dengan baik. Mengapa?
Disekolah menengah, kita mengasingkan pelajar yang bijak matapelajaran matematik dan sains dikelas pertama. Pelajar yang gagal PMR akan dihumban ke kelas sastera walaupun mereka tidak meminati sastera. Pelajar yang separa cerdik akan masuk ke kelas akaun. Pelajar-pelajar yang mendapat tempat di kelas sains akan dipandang tinggi, yang gagal ditingkatan 4 akan  patah semangat dan lumpuh. Minat mereka tidak terdapat dikelas sains mahupun sastera, tetapi dibidang lain. Tanyalah kemanakah anak-anak muda yang dihumban ke kelas sastera ini selepas SPM kerana mereka sering dikategorikan sebagai pelajar yang malas, bermasalah dan tiada masa depan. Saya percaya mereka tidak mendapat tempat di Universiti, jadi tempat yang disediakan oleh kerajan Barisan Nasional ialah jalan raya sebagai tempat merempit dan pusat membeli belah sebagai tempat melepak dan membuang masa. Mengapa kita tidak wujudkan kelas “Entrepreneurship” disekolah melatih mereka menjadi usahawan atau mungkin kelas dibidang IT dan Multimedia  mereka cipta perisian –perisian komputer.  Di Australia, pelajar berusia 12 tahun sudah dinilai dan dikategorikan mengikut minat mereka. Ada yang kebidang Multimedia, Seni lukisan dan lain-lain. Apabila mereka memasuki universiti, mereka sudah mempunyai asas dibidang berkenaan. Mengapa kita tidak punyai kelas sains politik sejak disekolah untuk mendebatkan isu-isu semasa agar anak-anak muda lebih peka dan prihatin agar pemikiran mereka berkembang.
Menghadkan pengambilan sejumlah subjek untuk SPM tidak membawa apa-apa makna kerana dasar pendidikan kita tetap bertumpu kepada menghafal daripada berfikir, mendengar arahan guru tanpa dibenarkan mengutarakan pendapat. Jika berbuat demikian dianggap melawan dan akan dikenakan tindakan.
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dalam bahasa Inggeris gagal bukanlah kerana pelaksanan ini tidak relavant pada masa ini tetapi disebabkan kementerian tidak bersedia melatih guru-guru. Guru-guru tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik, lalu mengajar di pendalaman atau dikampung. Akhirnya pelajar tidak faham dan guru pula tidak mahir. Maka terpaksalah guru mengajar dalam bahasa Melayu tetapi kertas peperiksaan pula dalam bahasa Inggeris. Selain itu, guru bahasa Inggeris yang gagal memberi kefahaman bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar dikampung menjadi faktor pokok. Jika diteliti, penguasan bahasa Inggeris oleh guru-guru hari ini hanya mencapai tahap lulus C.
Pendidikan akan menentukan masa depan negara. Jika sampah yang diterima oleh para pelajar hari ini, maka sampahlah yang akan dibawa pulang. Memetik satu wawancara The Star, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Abdul Wahid Omar mengatakan "guru-guru yang mendidik beliau dahulu sangat dedikasi dan komited berbanding hari ini". Beliau menambah, "Malaysia tidak membuat pelaburan dalam bidang pelajaran dan inilah yang menjadi punca kelemahan pendidikan di Malaysia". Seorang Entrepreneur bertaraf dunia dan pengasas Air Asia, Tony fernandes menyatakan beliau tidak akan menjadi seperti beliau hari ini jika mendapat pendidikan di Malaysia kerana sistem pendidikan yang ada hari ini memaksa pelajar menghafal daripada berfikir. Jadi mengapa kementerian tidak mengendah dan mengambil komen dari usahawan global ini supaya ianya dapat meningkatkan kualiti rakyat dinegara ini.  
Hari ini masyarakat melihat kerjaya guru tidak sepopular seperti zaman dahulu. Jarang kita mendengar anak muda bercita-cita untuk menjadi seorang guru untuk dengan semangat mahu mendidik generasi pewaris negara. Jika kita diberi pilihan untuk menjadi seorang guru yang gajinya RM3 ribu sebulan atau menjadi eksekutif di Maybank dengan Gaji RM6 ribu sebulan, yang mana kita akan pilih? Kerajaan perlu meletakkan profesion guru didalam kategori kerjaya profesional setaraf dengan peguam, doktor, akauntan, dan jurutera.  Apabila kerjaya guru ini dipandang tinggi dan diberi gaji lumayan kerjaya ini akan menarik para intelek muda untuk kebidang ini. Tidak perlulah guru-guru mahu menambah pendapatan sampingan dengan mengadakan kelas tuisyen disebelah malam. Kerjaya guru kelihatan seperti kerjaya pilihan kedua ataupun ketiga (second class). Apabila graduan  gagal mendapat tempat bekerja di sektor swasta ataupun kerajaan, pilihan terakhir mereka adalah menjadi guru sedangkan para intelek muda lain sudah berjaya menempatkan diri di syarikat-syarikat besar. Graduan jurutera yang gagal mendapat kerja juga terpaksa menjadi bidan terjun. Mereka ini keluar menjadi guru kerana terpaksa dan dengan perasan kecewa dan hampa. Apabila mereka tidak komited menjalankan tugas, pastilah “sampah” yang akan dikeluarkan dari sekolah.
Hari ini Malaysia memiliki infrastruktur kelas pertama. Kita dapat berbangga memiliki Twin Towers. Rakyat Malaysia semuannya teruja memiliki lapangan terbang antara yang tercanggih didunia Kuala Lumpur International Airport (KLIA) yang telah beberapa kali memenangi anugerah berprestij termasuklah  4th World’s Best Airport in 2008. Tatkala kita menyusuri “superhighway” dalam perjalanan ke KLIA, kelihatan kereta-kereta mewah meluncur laju sambil membuka tingkap membuang sampah keluar dari kenderan mencerminkan tahap pendidikan yang diterima dan mentality masyarkat kelas ketiga dinegara hasil dari pendidikan asas yang diterima disekolah.